Saling memberi kebebasan
Persahabatan memberi kita ruang untuk berkongsi suka duka bersama dan  bukannya untuk saling menyakiti dan membenci di antara satu sama lain.  Tetapi menjadi sahabat baik juga tidak bermakna kamu harus memiliki  seluruh ruang hidupnya. Misalnya, melarang temanmu membuat itu  dan ini. Malah kamu juga sibuk mengatur perjalanan hidupnya. Ini jelas  menunjukkan kamu terlalu mementingkan perasaan sendiri tanpa  mempedulikan perasaan orang lain. Apalah salahnya jika kamu saling  menghormati hak kebebasan dirinya. Dan apa yang penting, si dia jujur  pada persahabatannya.
Saling menahan rasa cemburu
Ramai yang berkata cemburu itu bunganya cinta. Tanpa cemburu  persahabatan yang dibina tak adalah ‘thrill’nya. Tetapi cemburu yang  membabi buta boleh menjejaskan hubungan. Ada baiknya sebelum api  cemburumu memuncak, cuba selidiki dahulu kebenarannya. Jika ada yang tak  kena, tanyalah temanmu itu dengan baik tanpa bersikap marah dan  menuduh. Usahakan untuk berbicara dengan fikiran yang matang dan tenang.  Sebenarnya perasaan cemburu ini tidak perlu terlalu ditonjolkan kerana  ini boleh membuatkan temanmu itu naik tocang. Dia akan mempergunakan  kelemahan kamu itu untuk membuat kamu berasa cemburu dengan berulang  kali. Tentu menyakitkan…
Saling memahami
Untuk menjadi sahabat yang baik kamu harus berusaha memahami dan  mengenali diri sendiri serta permasalahannya dengan lebih mendalam.  Misalnya temanmu itu menolak ajakanmu untuk keluar menonton wayang  bersama, kamu tidak boleh membuat tanggapan yang bukan-bukan tentang  dirinya. Mungkin dia mempunyai urusan yang mesti diselesaikan terlebih  dahulu. Adalah lebih baik kamu mencari hiburan sendiri lagipun esok  masih ada masa untuk kamu bertemu dia.
Saling mengalah
Demi menyelamatkan hubungan, tidak ada ruginya sekali sekala kamu  bersikap mengalah. Kamu dan si dia sering bercanggah pendapat. Seperti  menonton wayang, kamu sukakan filem romantik tetapi dia pula suka filem  aksi. Oleh kerana sayangkan tali persahabatan yang telah terbina sekian  lama maka si dia sentiasa menuruti segala kemahuanmu semata-mata mahu  menjaga hati dan perasaanmu. Tetapi bila difikirkan semula, apalah  salahnya sekali sekala kamu pula yang beralah dan cuba belajar memahami minatnya. Situasi ini tentu akan membuat si dia berasa bahagia dan lebih menyayangi dirimu.
Saling memberi kemaafan
Memaafkan perlu tetapi tidak mudah selagi perasaan kesal dan kecewa  menguasai diri. Tetapi sebagai insan biasa, kita tidak dapat lari  daripada melakukan kesalahan dan kesilapan. Lagipun, sedangkan lidah  lagi tergigit, inikan pula kita sesama sendiri. Belajar menjadi seorang  teman yang sudi memberi kemaafan kepada orang lain biarpun kamu sendiri  tahu perkara itu bukanlah berpunca dari kesalahan atau kesilapan dirimu.

 
 





